KESAN PERPADUAN KAUM TIDAK DIAMALKAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Perpaduan antara kaum amat penting bagi membentuk keharmonian dalam negara. Apabila perpaduan antara kaum tidak diamalkan atau tidak dititikberatkan dalam diri masyarakat, ianya dapat memberi impak negatif yang besar pada kesejahteraan dalam kalangan masyarakat mahupun negara. Terdapat banyak kesan buruk yang dapat digambarkan. Antaranya, keharmonian negara akan terjejas serta negara akan menjadi kacau-bilau dan huru-hara. Justeru, keamanan dan keselamatan negara akan terancam. Rakyat merupakan kelompok yang penting dalam menjamin keamanan dan keselamatan negara. Namun, apabila rakyat tidak saling bekerjasama dan saling berpecah belah, kadar jenayah dalam negara akan semakin meningkat. Contohnya, jika dalam satu kejiranan, rumah Ahmad dimasuki pencuri akan tetapi jirannya, Chong tidak membantu kerana bukan sesama kaum dan hanya membiarkan hal tersebut. Hal ini telah terbukti bahawa perpaduan antara kaum amat penting dalam aspek menjaga keselamatan antara masyarakat.
Seterusnya, dalam aspek pembangunan ekonomi negara akan menjadi tidak stabil. Menurut Joseph Stiglitz yang merupakan ketuan ahli ekonomi bank dunia, kunci bagi survival Malaysia ialah hubungan etnik yang harmonis atau dalam erti kata lain, perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat. Beliau mengatakan, sekiranya perpaduan terjejas dalam kalangan masyarakat maka survival Malaysia juga akan turut terjejas. Hal ini dapat dirujuk dengan peristiwa 13 Mei 1969 dimana ketika itu setiap kaum saling berbalah, bergaduh sehinggakan ke tahap saling bunuh-membunuh. Ekonomi negara pada ketika itu jatuh merundum. Jelas bahawa hubungkait perpaduan antara kaum dengan ekonomi memberi impak yang besar dalam membangunkan negara.
Sehubungan dengan itu, dalam aspek pendidikan juga akan turut memberi kesan. Apabila tidak ada perpaduan, secara tidak langsung menjejaskan sistem pendidikan di Malaysia. Seperti yang kita ketahui, misi Kementerian Pelajaran Malaysia ialah membangunkan pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia disamping memperkembangkan potensi individu dan memenuhi aspirasi negara. Kerajaan telah menetapkan matlamat untuk melahirkan generasi yang taat setia, bersepadu, berakhlak mulia, berketerampilan, sejahtera, menyediakan sumber tenaga untuk keperluan kemajuan negara dan member peluang pendidikan kepada semua masyarakat lain. Sudah terang lagi bersuluh, dimana matlamatnya menitikberatkan hal kesepaduan dan perpaduan. Apabila wujudnya, kesalahfahaman antara kaum maka akan wujud ketidaksamaan matlamat dan pendapat dalam masyarakat dalam membantu membangunkan negara. Dalam erti kata lain, pendidikan negara akan turut terjejas.
Konklusinya, menerung kepada usaha memupuk perpaduan integrasi nasional telah dimulakan sejak awal penubuhan negara dan kemerdekaan Malaysia. Perkembangan negara merakamkan aspirasi ini dengan menetapkan perundangan penting dalam negara. Dengan ini masyarakat perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam mengenali Perlembagaan Negara dan tidak melemahkan Perlembagaan Negara. Inilah yang dikatakan keluhuran Perlembagaan dalam rukun Negara. Masyarakat juga perlu mempratikkan rukun Negara dalam setiap rutin harian mereka agar mereka tidak alpa kepentingan perpaduan dan kedaulatan negara.
~by nurin_1063



Comments
Post a Comment